Projek Jalan Temong–Tepoi/Sadir Fasa 2 Dahului Jadual
TEBEDU: Projek pembinaan Jalan Temong–Tepoi/Sadir Fasa 2 bernilai RM48.188 juta kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 24 peratus, mengatasi sasaran 21.43 peratus sekali gus mencerminkan perkembangan positif pelaksanaan projek infrastruktur luar bandar di kawasan Tebedu.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris berkata, projek sepanjang kira-kira 7.4 kilometer itu melibatkan pembinaan jalan baharu berturap sepanjang 6.64 kilometer bagi laluan utama serta 0.73 kilometer jalan penghubung ke kawasan kampung.
Menurut beliau, projek yang bermula dari Kampung Temong hingga Kampung Tepoi itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dan dijadualkan siap pada November 2027.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat perkembangan projek kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa lawatan ke tapak projek berkenaan, di sini, pada Isnin.
Apabila siap kelak, projek itu dijangka memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 3,000 penduduk dari tujuh kampung, iaitu Kampung Temong Bengan, Kampung Temong Putah, Kampung Temong Mura, Kampung Temong Mawang, Kampung Darul Falah, Kampung Darul Huda dan Kampung Tepoi.
Pelaksanaan projek berkenaan bakal meningkatkan tahap kesalinghubungan antara kampung, memudahkan pergerakan harian penduduk serta memperluas akses kepada kemudahan asas dan peluang ekonomi setempat.
Pada masa sama, pembinaan jalan itu turut menyokong usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar, khususnya melalui penyediaan infrastruktur jalan raya yang lebih selamat dan selesa.-EDISI UKAS