Pertandingan Nyanyian Semarak Minat Industri Muzik Tanah Air
MIRI: Pertandingan nyanyian bukan sekadar platform untuk mengetengahkan bakat, malah menjadi wadah mengeratkan hubungan persahabatan serta menyemarakkan minat terhadap muzik dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, keberanian peserta untuk berdiri di atas pentas dan menyampaikan perasaan melalui nyanyian merupakan satu kemenangan tersendiri.
Menurut beliau, penyertaan dalam pertandingan tidak seharusnya hanya berorientasikan kemenangan, sebaliknya peserta perlu menikmati setiap pengalaman dan proses sepanjang pertandingan berlangsung.
“Tidak kira sama ada berjaya memenangi anugerah atau tidak, sesiapa yang berani berdiri di atas pentas dan menunjukkan bakat masing-masing dengan sepenuh hati sudah dianggap sebagai pemenang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pertandingan Nyanyian Bahasa Cina Terbuka Lelaki dan Wanita Kategori Elit Veteran bertajuk Jin Sang Qun Ying, Dian Feng Zheng Ba, di sini, pada Ahad.
Datuk Sebastian Ting turut merakamkan penghargaan kepada ahli persatuan berkenaan yang terus berganding bahu dan komited menganjurkan pelbagai aktiviti nyanyian sejak penubuhannya 11 tahun lalu.
Katanya, aktiviti nyanyian bukan sahaja membawa kegembiraan, malah memberi peluang kepada masyarakat untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan dan ahli keluarga melalui minat yang dikongsi.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat serta meluangkan masa untuk melakukan aktiviti fizikal.
Menurutnya, setiap individu perlu mengambil inisiatif sendiri dalam menjaga kesihatan kerana tanggungjawab tersebut tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada orang lain.
Turut hadir, Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang. - EDISI UKAS