Pendidikan Pelaburan Penting Lahir Generasi Cemerlang, Berdaya Saing
SARIKEI: Pendidikan merupakan pelaburan penting dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing bagi memastikan kesinambungan pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, kecemerlangan seseorang murid bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik, malah turut merangkumi penglibatan dalam kokurikulum serta pembentukan sahsiah diri yang baik.
Menurut beliau, kejayaan tidak hadir dengan sendirinya, sebaliknya memerlukan usaha berterusan, disiplin tinggi serta kesungguhan untuk memperbaiki diri.
“Kejayaan para murid merupakan hasil usaha gigih, pengorbanan masa serta sokongan daripada guru dan ibu bapa. Saya berharap kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk terus melakar kejayaan yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Apresiasi Kecemerlangan SMK Bandar Sarikei 2026 di pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan murid yang belum menerima sebarang anugerah supaya tidak berputus asa, sebaliknya terus berusaha meningkatkan pencapaian kerana setiap individu mempunyai potensi dan peluang tersendiri untuk berjaya.
Beliau turut menegaskan komitmennya dalam memperjuangkan pembangunan pendidikan di kawasan Sarikei, termasuk usaha menambah baik infrastruktur serta kemudahan sekolah bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Menyentuh mengenai akses pendidikan tinggi, beliau menyifatkan inisiatif pendidikan tinggi percuma oleh Kerajaan Sarawak sebagai langkah penting dalam membuka peluang lebih luas kepada anak Sarawak melanjutkan pengajian tanpa dibebani kekangan kewangan.-EDISI UKAS