APAU KOYAN: Seramai 33 pasukan lelaki dan wanita menyertai Kejohanan Futsal Murum 2026 yang berlangsung di Gelanggang Futsal Uma Baha, Apau Koyan, Sungai Asap, baru-baru ini.
Kejohanan yang melibatkan 21 pasukan lelaki dan 12 pasukan wanita itu mencerminkan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap aktiviti sukan, khususnya dalam kalangan belia di kawasan Murum.
Penganjuran oleh Kelab Belia Asap Koyan (KBAK) dengan kerjasama Wanita PRS Murum itu bertujuan menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat, selain menjadi platform mencungkil serta mengembangkan bakat pemain futsal tempatan.
Penyertaan pasukan dari Sungai Asap, Metalun, Tubau dan Belaga turut memperlihatkan peranan sukan sebagai medium mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kesukanan serta memperkukuh perpaduan masyarakat setempat.
Selain memberi peluang kepada pemain mempamerkan kemahiran dan kebolehan masing-masing, kejohanan berkenaan turut menerapkan nilai disiplin, kerjasama berpasukan dan persaingan sihat dalam kalangan peserta.
Program yang menghimpunkan kira-kira 350 peserta dan pengunjung itu turut menjadi ruang interaksi sosial antara masyarakat dari pelbagai kawasan, sekali gus menyemarakkan aktiviti kesukanan di kawasan luar bandar.-EDISI UKAS