Belaga Dan Sungai Asap Dipilih Tuan Rumah SKCC 2028
MIRI: Persatuan Kayan Sarawak (PKS) akan meneruskan penganjuran Sarawak Kayan Cultural Carnival (SKCC) pada 2028 dengan PKS Cawangan Belaga dan PKS Cawangan Asap dipilih sebagai tuan rumah bagi edisi akan datang.
Pengumuman itu dibuat Presiden Persatuan Kayan Sarawak, Dato Dennis Ngau ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Penangguhan SKCC 2026 bertemakan “Rhythm of Cultural Heritage & Traditions” di Bangunan FORUM, di sini, pada Ahad.
Beliau berkata, penganjuran SKCC merupakan platform penting untuk memelihara, mempromosi dan memperkukuh warisan kebudayaan serta tradisi masyarakat Kayan agar terus diwarisi generasi muda, seiring dengan perkembangan pembangunan dan arus pemodenan.
Menurutnya, kejayaan penganjuran SKCC 2026 membuktikan komitmen serta sokongan padu semua lapan cawangan PKS di seluruh Sarawak, dengan jumlah keahlian dianggarkan sekitar 3,000 orang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi PKS Cawangan Miri, Tommy Raymond Jok, Pengerusi Penganjur SKCC 2026, Ts. Mellvyne Sigo serta seluruh jawatankuasa penganjur.
Dalam pada itu, Dato Dennis menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat Kayan serta kerjasama dengan komuniti etnik lain bagi memastikan suara dan kepentingan masyarakat itu terus diberi perhatian.
Katanya, masyarakat Kayan perlu mengelakkan perpecahan dan mengetepikan perbezaan demi kemajuan bersama.
Beliau turut memaklumkan bahawa permohonan untuk mewujudkan jawatan Ketua Masyarakat bagi komuniti Kayan di kawasan berkenaan masih dalam pertimbangan Kerajaan Sarawak.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat Kayan terus aktif, bersatu dan menunjukkan komitmen dalam pembangunan komuniti.
SKCC 2026 turut menampilkan penyertaan pelbagai cawangan PKS menerusi persembahan kebudayaan dan pertandingan yang mengetengahkan keunikan warisan masyarakat Kayan, termasuk pakaian tradisional, tarian, muzik dan budaya masyarakat.
Karnival itu juga menjadi platform mencungkil bakat generasi muda serta memperkenalkan identiti etnik Kayan kepada masyarakat umum.
Hadir sama, Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lihan dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.-EDISI UKAS