Infrastruktur Sukan Di Sekolah Pelaburan Masa Depan Generasi Muda
LIMBANG: Pembangunan kemudahan sukan di sekolah merupakan pelaburan jangka panjang dalam melahirkan generasi muda yang sihat, berdisiplin dan berdaya saing, selain menyediakan ruang kepada murid untuk mengembangkan potensi dalam bidang sukan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kemudahan sukan yang berkualiti bukan sahaja menyokong aktiviti riadah, malah berperanan membentuk sahsiah dan kecemerlangan murid.
“Pembangunan kemudahan sukan di sekolah bukan sekadar menyediakan ruang untuk aktiviti riadah, tetapi merupakan satu pelaburan jangka panjang dalam melahirkan generasi anak-anak Sarawak yang sihat, berdisiplin dan berdaya saing,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Pusat Sukan Ling Su You di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Hin, Limbang pada Ahad.
Beliau memaklumkan bahawa pusat sukan itu turut menyediakan gelanggang bola keranjang dan bola tampar untuk kegunaan warga sekolah serta komuniti setempat.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM250,000 pada 2018 menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi pembinaan gelanggang bola tampar, diikuti RM150,000 pada 2020 untuk pembinaan tempat duduk penonton (grandstand), menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan sebanyak RM400,000.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan usaha membantu meningkatkan kemudahan sekolah lain di kawasan Limbang, termasuk SJKC Chung Hua yang menerima bantuan bagi pemasangan sistem penghawa dingin di dewan sekolah dengan kos hampir RM500,000.
Pada majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ling Su You atas sumbangan membiayai pembinaan bumbung gelanggang berkenaan yang membolehkan pelbagai aktiviti sukan dijalankan dengan lebih selesa tanpa gangguan cuaca.
Beliau berkata, usaha berterusan menyediakan kemudahan lebih baik di sekolah rendah sekitar kawasan Bukit Kota turut mencerminkan komitmen terhadap pembangunan pendidikan dan kebajikan warga sekolah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak terhadap pembangunan pendidikan komuniti Cina dan kebajikan SJKC kekal berterusan, selain berharap kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan serta dijaga dengan baik bagi melahirkan bakat sukan baharu dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Limbang, Siti Mariam Salleh; Pengerusi Lembaga Pengelola SJK(C) Yuk Hin Limbang, Michael Tiong Hok Choon; wakil penaja pembinaan struktur berbumbung gelanggang bola keranjang, Ling Toh Aik; Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Limbang, Dato Wong King Hoong dan Guru Besar SJK(C) Yuk Hin Limbang, Wong Kae Nie.-EDISI UKAS