KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) terus memperkukuh kerjasama strategik sebagai dua organisasi media rasmi kerajaan dalam usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat yang tepat, sahih dan berintegriti kepada masyarakat.
Usaha itu menjadi antara fokus utama perbincangan sempena kunjungan hormat delegasi BERNAMA yang diketuai Ketua Pengarangnya, Datuk Arul Rajoo Durar Raj kepada Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan di Ibu Pejabat UKAS pada Isnin.
Pertemuan berkenaan menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan dan meneroka peluang kerjasama lebih erat, khususnya dalam aspek perkongsian maklumat, penerbitan kandungan berita serta pengukuhan jaringan komunikasi antara kedua-dua organisasi.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada potensi kerjasama dalam pembangunan kapasiti petugas media, perkongsian kepakaran kewartawanan serta penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan penghasilan dan penyebaran berita melalui pelbagai platform.
Selain itu, kedua-dua organisasi turut melihat kepentingan memperkukuh penyelarasan liputan program dan inisiatif kerajaan bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat lebih menyeluruh, mudah difahami dan memenuhi keperluan masyarakat.
Kerjasama berkenaan juga berpotensi membuka ruang kepada pelaksanaan program pembangunan profesional, pertukaran pengetahuan serta penerokaan pendekatan baharu dalam bidang komunikasi dan penyiaran digital.
Kunjungan hormat itu sekali gus mencerminkan hubungan baik antara UKAS dan BERNAMA dalam memperkukuh ekosistem komunikasi awam serta meningkatkan mutu penyampaian maklumat seiring dengan perkembangan landskap media semasa.
Delegasi BERNAMA turut disertai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi, Harlina Samson, Timbalan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita, Sh Nur Shahrizad Sy Mohamed Sharer, Ketua Biro BERNAMA Sarawak, Ammar Shafiq Hamzah serta Pengurus Kanan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Abdul Halim Hafiz Mohamad Radzali.
Hadir sama dalam kunjungan hormat itu ialah Timbalan Pengarah UKAS Mohamed Faizal Shah Ali serta pegawai-pegawai kanan UKAS. -EDISI UKAS