Kemudahan Infrastruktur Komuniti Di Bintangor Terus Diperkasa
BINTANGOR: Usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur asas di Bintangor terus dipergiat menerusi kelulusan peruntukan baharu bagi meningkatkan akses perhubungan, kemudahan komuniti dan kesejahteraan penduduk setempat.
Sebanyak RM207,000 peruntukan menerusi Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) diluluskan bagi membiayai pelbagai projek pembangunan yang memenuhi keperluan masyarakat.
Kelulusan peruntukan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol dalam satu majlis ringkas di Rumah Panjang Sungai Sian, Bintangor pada Isnin.
Antara penerima ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Lingga Dagang, Sungai Sian yang menerima RM70,000 bagi menaik taraf titian belian menuju ke Jalan Ban.
Jumlah sama turut diperuntukkan bagi kerja-kerja penambakan jalan di Kampung Baru Tanjung Bundong untuk menambah baik kemudahan perhubungan penduduk setempat.
Sementara itu, JKKK Zon 1, Jalan Abang Ali, Bintangor menerima RM15,000 bagi membiayai kerja-kerja membaik pulih pusat komuniti demi memastikan kemudahan tersebut terus berfungsi dengan baik.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Selidap pula menerima RM23,000 bagi membiayai pembinaan kawasan parkir untuk meningkatkan kemudahan dan keselesaan warga sekolah.
Selain itu, JKKK Zon 2, Kampung Abang Amin, Bintangor turut menerima peruntukan sebanyak RM29,000 bagi pembinaan jalan baharu untuk meningkatkan kemudahan akses penduduk setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Abdullah turut menyaksikan penyerahan projek siap naik taraf padang futsal menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah Panjang Bisa, Sungai Sian, kepada Tuai Rumah Bisa.
Projek bernilai RM350,000 di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu merangkumi pembinaan struktur berbumbung bagi meningkatkan keselesaan penduduk menjalankan aktiviti sukan dan rekreasi.
Projek berkenaan mula dilaksanakan pada 8 Disember 2025 dan siap sepenuhnya pada 7 Jun 2026, sekali gus menyediakan kemudahan rekreasi yang lebih kondusif kepada penduduk setempat.-EDISI UKAS