SKS Samarahan Sasar 50,000 Pengunjung, 52 Agensi Tawar 172 Perkhidmatan
SAMARAHAN: Seramai 50,000 pengunjung disasarkan menghadiri Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Samarahan yang bakal berlangsung di Halaman Samarahan pada 22 dan 23 November ini dengan penyertaan 52 agensi kerajaan serta badan berkanun.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua berkata, sebanyak 172 perkhidmatan dan dua perkhidmatan bergerak disediakan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan pelbagai kemudahan serta maklumat berkaitan perkhidmatan kerajaan secara terus.
“Kalau di Samarahan, kita ada 52 agensi yang menawarkan 172 perkhidmatan dan juga dua perkhidmatan bergerak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Samarahan dan Kuching di Pejabat RISDA Sarawak, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, program selama dua hari itu turut mengetengahkan pelbagai inisiatif kerajaan, termasuk kaunter Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026, JobSarawak serta kaunter pendidikan yang menyediakan maklumat berhubung Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Selain mendapatkan perkhidmatan kerajaan, pengunjung juga berpeluang menerokai Samarahan Kitchen yang menghimpunkan 50 usahawan tempatan menerusi jualan pelbagai juadah serta produk kering.
Program itu turut menyediakan pavilion khas yang mempamerkan perkembangan pembangunan Sarawak, termasuk projek di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta projek mega negeri.
Pelbagai aktiviti sampingan turut diatur bagi memeriahkan program, antaranya saringan kesihatan, pameran, sukan rakyat dan e-peraduan yang menawarkan hadiah menarik seperti kereta, motosikal serta barangan elektronik.
Tidak ketinggalan, Konsert Rakyat pada sebelah malam bakal menampilkan Ezzad sebagai artis jemputan utama, selain menjadi platform penyampaian hadiah kepada pemenang e-peraduan.
Majlis perasmian program berkenaan dijadual disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 23 November ini.
Datu Felicia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program Sarawakku Sayang 2026 Zon Selatan bagi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian berkata, penganjuran program itu turut membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih dekat agenda pembangunan negeri, khususnya Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Turut hadir, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang dan Residen Bahagian Kuching, Hajah Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi. -EDISI UKAS