SK Methodist Kapit Catat Peningkatan Cemerlang UP-DLP Sarawak 2026, 11 Murid Raih Semua A
KAPIT: Seramai 11 calon Sekolah Kebangsaan (SK) Methodist Kapit berjaya memperoleh keputusan semua A dalam Ujian Penilaian Program Dwibahasa (UP-DLP) Sarawak 2026, sekali gus mencerminkan peningkatan ketara pencapaian akademik sekolah berkenaan berbanding tahun sebelumnya.
Pencapaian itu mewakili 8.66 peratus daripada keseluruhan calon dan merupakan peningkatan memberangsangkan berbanding tahun 2025 apabila tiada calon berjaya memperoleh keputusan semua A.
Berdasarkan analisis keputusan rasmi, Bahasa Inggeris mencatatkan kadar kelulusan 98.43 peratus berbanding 92.92 peratus pada 2025, manakala pencapaian Gred A meningkat daripada 9.73 peratus kepada 33.86 peratus.
Matematik pula merekodkan peningkatan paling ketara dengan kadar kelulusan melonjak kepada 89.76 peratus berbanding 54.87 peratus pada tahun sebelumnya, manakala pencapaian Gred A meningkat daripada 2.65 peratus kepada 14.96 peratus.
Sementara itu, Sains mencatatkan kadar kelulusan 96.06 peratus berbanding 88.50 peratus pada 2025, dengan pencapaian Gred A turut meningkat daripada sifar peratus kepada 18.11 peratus.
Guru Besar SK Methodist Kapit, Joseph Arthur Taboh menyifatkan pencapaian tersebut sebagai hasil usaha kolektif, komitmen dan kerjasama erat seluruh warga sekolah dalam memastikan kecemerlangan akademik murid.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan guru, kakitangan sokongan serta ibu bapa dan penjaga atas dedikasi, kepercayaan dan sokongan berterusan yang menjadi antara faktor penting kejayaan tersebut.
Katanya, Majlis Penyerahan Slip Keputusan UP-DLP Sarawak 2026 yang diadakan bukan sahaja meraikan kecemerlangan murid, malah menjadi platform menghargai sumbangan semua pihak dalam memperkukuh kualiti pendidikan dan kemenjadian murid di Bahagian Kapit. -EDISI UKAS