Jonas Juarai Kejohanan SportExcel-NSC-Milo-MTBC Junior Circuit Bawah 12 Tahun
SELANGOR: Pemain boling muda Sarawak berusia 11 tahun, Jonas Yap Zao Min melakar kejayaan cemerlang dengan muncul juara kategori Lelaki Bawah 12 Tahun (U12) pada Kejohanan Akhir Grand Final SportExcel-NSC-Milo-MTBC Junior Circuit yang berlangsung pada 14 dan 15 November 2026 di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid, Selangor.
Jonas mempamerkan kebangkitan luar biasa dalam peringkat akhir format step-ladder untuk meraih gelaran juara kebangsaan, sekali gus melengkapkan persembahan cemerlangnya dengan memenangi Anugerah Permainan Tertinggi (High Game Award).
Seramai 14 pemain boling Sarawak berjaya melayakkan diri ke Grand Final menerusi tiga kategori iaitu U12, Graded dan Terbuka, melibatkan bahagian lelaki dan perempuan, sekali gus mewakili Sarawak dalam kalangan pemain boling junior terbaik negara.
Jonas memulakan saingan peringkat akhir perlawanan step-ladder U12 Lelaki 1+1 sebagai pemain pilihan utama selepas mendahului kedudukan pusingan kelayakan.
Perlawanan akhir menyaksikan persaingan sengit apabila Jonas tewas pada permainan pertama dengan keputusan 181–201 kepada atlet Selangor, Umar Alee Mu'inuddin Mohd yang terdahulunya menundukkan wakil dari Pulau Pinang, Leong Chi Him.
Bagaimanapun, pemain muda Sarawak itu bangkit dengan penuh ketenangan dan segera membuat penyesuaian terhadap permainannya sebelum menghasilkan pungutan 267 jatuhan pin dalam perlawanan penentuan untuk menewaskan Umar sekali gus merangkul kejuaraan kategori U12 Lelaki.
Prestasi cemerlang menerusi pungutan 267 jatuhan pin itu turut menyerlahkan keupayaan Jonas mengawal tekanan dalam situasi genting, sekali gus melayakkannya menerima Anugerah Permainan Tertinggi.
Sarawak turut mencatatkan dua pencapaian dalam kelompok lapan terbaik bagi kategori Graded Lelaki dan Perempuan apabila Izara Hannah Erwan dan Saiful Iman Shah Abdullah masing-masing menduduki tempat keenam.
Kontinjen Sarawak diiringi jurulatih Jerusha Chan dan Melvin Gilbert yang memberikan bimbingan serta sokongan kepada para pemain sepanjang kejohanan kebangsaan selama dua hari itu.
Turut hadir pada perlawanan akhir ialah ialah Timbalan Presiden Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS), Shaifulbahri Shukri yang memberikan sokongan kepada atlet muda Sarawak sepanjang pertandingan berlangsung.
Kehadiran beliau mencerminkan sokongan berterusan serta komitmen persatuan dalam memperkukuh pembangunan sukan boling junior di Sarawak.
Lebih daripada sekadar mengejar pingat dan kedudukan, pengalaman bersaing dengan pemain boling junior terbaik negara memberikan pendedahan berharga kepada atlet muda ini untuk terus meningkatkan prestasi dan mengembangkan potensi masing-masing.
Dengan sokongan berterusan daripada ABAS, barisan jurulatih, ibu bapa serta program pembangunan SSC, Sarawak kekal komited dalam melahirkan generasi baharu pemain tenpin boling berbakat dan membina asas yang lebih kukuh demi masa depan sukan itu di negeri ini. - EDISI UKAS