Generasi Muda Perlu Fahami Proses Demokrasi, Tunaikan Tanggungjawab Mengundi
MIRI: Golongan muda perlu memahami proses demokrasi dan tanggungjawab sebagai pengundi sejak di bangku sekolah bagi membentuk generasi yang berpengetahuan serta mampu membuat keputusan secara rasional.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata pendedahan mengenai sistem pemerintahan negara dan proses pilihan raya penting bagi membantu golongan muda memahami peranan mereka sebagai warganegara.
Menurutnya, pemahaman mengenai pembahagian tanggungjawab antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan juga membolehkan golongan muda mengetahui saluran yang tepat untuk menyampaikan pandangan atau mengemukakan aduan berkaitan isu kehidupan seharian.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pendidikan Sivik dan Simulasi Proses Pengundian anjuran Miri Intelligent Youth Club (Kelab Belia Bestari Bandar Miri) di Auditorium Sekolah Menengah Pei Min, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau turut menekankan kepentingan golongan muda untuk menyemak kesahihan maklumat, mendapatkan pandangan daripada pelbagai sumber dan membuat penilaian sendiri sebelum mengambil sesuatu keputusan.
Jelasnya, apabila tiba masanya untuk mengundi, golongan muda perlu mengenali calon, memahami pendirian serta cadangan yang dikemukakan sebelum membuat pilihan.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 pada 12 Disember ini, beliau turut menyeru rakyat Sarawak yang telah layak mengundi supaya menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dengan keluar mengundi demi kepentingan negeri, masyarakat dan keluarga.
Beliau berharap program seumpama itu dapat meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan pelajar serta melahirkan generasi muda yang memahami proses demokrasi dan bersedia memainkan peranan dalam menentukan masa depan negeri.-EDISI UKAS