LUBOK ANTU: Seramai 10 usahawan daripada golongan B40 di Daerah Lubok Antu menerima suntikan sokongan menerusi sumbangan peralatan perniagaan bernilai keseluruhan RM55,000 di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) Usahawan B40 ICU JPM Sarawak Tahun 2026.
Penyerahan bantuan tersebut disempurnakan Pegawai Pembangunan Zon, ICU JPM Sarawak (Sri Aman), Radiah Muhamad sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkasa keupayaan ekonomi golongan berpendapatan rendah melalui pembangunan keusahawanan.
Inisiatif anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak itu menyasarkan usahawan aktif yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM4,670 sebulan bagi membantu mereka mengembangkan operasi perniagaan serta meningkatkan pendapatan secara berterusan.
Selain itu, penyerahan peralatan perniagaan dilaksanakan secara terus ke rumah dan premis perniagaan penerima bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar, selain membolehkan pihak pelaksana meninjau sendiri keperluan serta perkembangan perniagaan mereka.
Bantuan tersebut diharap dapat meningkatkan kapasiti operasi dan produktiviti usahawan, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk mengembangkan perniagaan serta memperkukuh ekonomi isi rumah.
Pelaksanaan program berkenaan turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam membantu golongan B40 meningkatkan taraf hidup melalui sokongan ekonomi yang bersasar, sekali gus memberi peluang kepada mereka membina kehidupan lebih sejahtera.
Turut hadir ialah wakil Pegawai Daerah Lubok Antu, Stanley Martin Engkujang, wakil Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lubok Antu, tuai rumah dari Daerah Lubok Antu serta penerima bantuan.-EDISI UKAS