Penempatan Sementara Mangsa Kebakaran Rumah Panjang Matop Dirancang
SPAOH: Perancangan awal sedang dilaksanakan bagi menyediakan penempatan sementara untuk penduduk Rumah Panjang Matop yang terjejas akibat kebakaran, sementara menunggu proses pembinaan semula rumah panjang dilaksanakan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tapak bagi tujuan tersebut telah dikenal pasti hasil perbincangan dengan Pejabat Tanah dan Survei Bahagian Betong, manakala kerja-kerja pembersihan kawasan berkenaan dirancang menggunakan peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Katanya, selain penyediaan penempatan sementara, perancangan pembinaan semula rumah panjang turut menjadi keutamaan bagi memastikan penduduk terjejas dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa dalam persekitaran yang lebih selesa dan selamat.
Beliau berkata demikian semasa hadir bersama isteri, Datin Amar Dato Doreen Mayang dalam lawatan menziarahi penduduk Rumah Panjang Matop di Pondok Serbaguna rumah panjang berkenaan, di sini, pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau berharap Pejabat Residen Bahagian Betong dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong dapat bekerjasama dalam menyelaras tindakan susulan, termasuk urusan permohonan peruntukan, penilaian teknikal serta perancangan pelaksanaan projek pembinaan semula rumah panjang.
Pejabat Residen Bahagian Betong akan menyelaras urusan pentadbiran dan mengangkat permohonan peruntukan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Betong kepada JPBNS untuk kelulusan, manakala JKR Bahagian Betong akan melaksanakan penilaian teknikal di lokasi serta menyediakan skop kerja dan anggaran kos pembinaan berdasarkan peruntukan yang diluluskan.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah tampil menghulurkan sumbangan serta bantuan bagi meringankan beban penduduk yang terjejas akibat kebakaran itu.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak mempunyai mekanisme bantuan bagi membantu rakyat yang ditimpa musibah, termasuk melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang menyelaras bantuan kepada mangsa bencana.
Menerusi mekanisme tersebut, kerajaan menyediakan bantuan pembinaan semula rumah sehingga RM70,000 bagi setiap keluarga yang layak, khususnya bagi kediaman yang musnah sepenuhnya akibat kebakaran, tertakluk kepada penilaian dan kelulusan pihak berkenaan.
Turut hadir, mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Alfred Jabu Numpang, mantan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat, Temenggung Masyarakat Iban Bahagian Betong, Temenggung Richard Mulok, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Jurutera Bahagian JKR Betong, Jason Ng Boon Tuan, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, TPr Moris Nyaup, Pegawai Daerah Betong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Betong, Laga Kueh dan Tuai Rumah Panjang Matop, Anyie Ranjit.-EDISI UKAS