Tarian Singa Perlu Terus Diwariskan Kepada Generasi Muda
SARIKEI: Seni tarian singa perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda bagi memastikan kelangsungan warisan budaya tradisional, selain membentuk disiplin, kerjasama dan semangat berpasukan dalam kalangan belia.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, penglibatan golongan muda dalam seni tersebut penting bagi memastikan warisan berkenaan terus berkembang dan mendapat sambutan generasi akan datang.
“Pertandingan seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada setiap pasukan menunjukkan kemahiran masing-masing, malah menjadi ruang untuk bertukar pengalaman, mengeratkan persahabatan dan memupuk semangat berpasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Tarian Singa Persatuan Buddha Orthodox Sarikei sempena Kejohanan Jelajah Tarian Singa Tradisional Sarawak di Stadium Bola Keranjang Susur Jambu, di sini, pada Sabtu.
Dalam usaha menyokong perkembangan aktiviti kebudayaan, beliau turut menyatakan komitmen terhadap penyediaan kemudahan termasuk gelanggang bola keranjang dan lantai simen bagi menyediakan ruang latihan lebih sesuai kepada pasukan tarian singa serta persatuan setempat.
Menurutnya, kemudahan itu bakal menyediakan ruang lebih kondusif untuk penganjuran aktiviti sukan, pertandingan dan program komuniti, sekali gus memberi manfaat kepada golongan belia, atlet serta persatuan setempat.
Majlis anjuran Persatuan Buddha Orthodox Sarikei itu dihadiri kira-kira 200 orang.-EDISI UKAS