Pusat Tingkatan Enam Limbang Disasar Beroperasi Jun 2027
LIMBANG: Pusat Tingkatan Enam Limbang disasarkan mula beroperasi pada Jun 2027 dengan penyediaan kemudahan infrastruktur asas bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih kondusif kepada pelajar prauniversiti di bahagian ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata pemindahan pusat berkenaan dari SMK Kubong ke tapak asal SMK Limbang bertujuan menyediakan ruang yang lebih besar dan bersesuaian untuk pelajar serta tenaga pendidik.
“Kita mahu memastikan prasarana untuk para pelajar Tingkatan Enam bertambah baik. Walaupun pusat ini masih menumpang di SMK Limbang, kemudahannya lebih besar dan lebih sesuai,” katanya semasa ditemui pihak media semasa Lawatan Kerja Rasmi ke Tapak Projek Pusat Tingkatan 6 di sini pada Isnin.
Menurut beliau, tapak asal SMK Limbang dipilih selepas sekolah berkenaan berpindah ke bangunan baharu, sekali gus membolehkan bangunan lama sekolah berkenaaan dapat dimanfaatkan semula melalui kerja-kerja naik taraf.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak melalui peruntukan RTP Khas telah meluluskan RM4.5 juta bagi kerja-kerja menaik taraf bangunan.
Selain itu, pihak NRDA turut bersetuju melaksanakan kerja-kerja menaik taraf serta menyediakan kemudahan tambahan termasuk asrama dan kantin, manakala kira-kira RM2.5 juta lagi diperlukan bagi melengkapkan keperluan infrastruktur pusat berkenaan.
Menurutnya, antara kemudahan yang diberi keutamaan ialah rumah warden, dewan makan, pagar asrama dan sistem perparitan, selain memastikan urusan mendapatkan Permit Menduduki (OP) dapat diselesaikan sebelum pusat berkenaan dibuka.
Beliau turut menegaskan bahawa pembukaan pusat itu bukan sahaja bertujuan menyediakan kemudahan fizikal yang lebih baik, malah perlu disusuli usaha meningkatkan mutu pendidikan Tingkatan Enam menerusi penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada guru-guru serta pengambilan pelajar dari SMK Patiambun, SMK Medamit dan SMK Kubong, termasuk pelajar dari Lawas.
Hadir sama Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, Pengawai Pendidikan Daerah Limbang, Siti Mariam Salleh dan Jurutera Awam JKR Bahagian Limbang.-EDISI UKAS