Premier Sarawak Bertemu CEO SoftBank, Rakan Strategik Perkukuh Kerjasama AI
JEPUN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengadakan pertemuan dengan Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Group, Masayoshi Son di Tokyo sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan dengan konglomerat teknologi Jepun itu serta rakan pelaburannya.
Pejabat Premier Sarawak dalam satu kenyataan media pada Rabu memberitahu, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bersama delegasi berlepas ke Tokyo pada pagi Isnin dan tiba di ibu negara Jepun itu pada pukul 4 petang waktu tempatan.
Pertemuan tersebut menghimpunkan wakil SoftBank Group, Grab Holdings Limited dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) yang menjalin kerjasama strategik bertujuan membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) berskala besar di Sarawak.
Ketiga-tiga pihak sebelum ini telah menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) secara maya pada 9 November, susulan pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja di Kuching pada 8 Oktober lalu.
JDA tersebut menandakan fasa seterusnya dalam kerjasama berkenaan dan memperkukuh perancangan untuk membangunkan infrastruktur AI berskala besar di Sarawak, yang akan menggabungkan keupayaan teknologi SoftBank Group dan Grab dengan kepakaran PETROS dalam pembangunan tenaga serta infrastruktur.
Di bawah perancangan itu, rakan kerjasama berkenaan mencadangkan pelaburan modal permulaan secara bersama berjumlah AS$1 bilion (kira-kira RM4.07 bilion), merangkumi AS$800 juta daripada SoftBank Group serta masing-masing AS$100 juta daripada Grab dan PETROS.
SoftBank Group akan menerajui projek tersebut dan memegang kepentingan pemilikan majoriti, manakala Grab dan PETROS akan mengambil bahagian sebagai rakan strategik bagi menyokong aspirasi jangka panjang projek itu untuk mencapai kapasiti pengkomputeran AI sebanyak lima gigawatt (GW).
Cadangan pelaburan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat, tertakluk kepada pencapaian peringkat pembangunan, komitmen kontrak pelanggan serta syarat-syarat penyempurnaan transaksi yang diperlukan.
Pada masa sama, rakan kerjasama berkenaan juga akan berusaha menarik pelabur tambahan dan pelanggan penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan berskala besar atau hyperscaler.
PETROS, sebagai pemegang kepentingan yang mewakili Sarawak, akan menyumbang kepakarannya menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak serta peranannya sebagai Pemaju Induk Hab Rendah Karbon Kuching.
Inisiatif tersebut memperkukuh infrastruktur tenaga dan perindustrian negeri bagi menyokong kemunculan industri baharu yang mempunyai nilai tambah tinggi.
Sumber tenaga dan kapasiti penjanaan elektrik sedia ada di Sarawak menyediakan asas yang kukuh bagi pembangunan infrastruktur AI berskala besar, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia di bawah AI Nation 2030 serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak.
Apabila beroperasi sepenuhnya, kemudahan tersebut dijangka menjadi antara pembangunan infrastruktur AI terbesar seumpamanya di Asia.
Kemudahan berkenaan akan menyediakan keupayaan pengkomputeran termaju kepada kerajaan, syarikat multinasional dan sektor perniagaan, di samping mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Sarawak.
Turut mengiringi Premier Sarawak ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Ibrahim Baki dan Ketua Pegawai Eksekutif PETROS, Dato Janin Girie.
Hadir sama, Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Grab, Dato Anthony Tan Ping Yeow.-EDISI UKAS