Jalan Kampung Peraya–Kampung Stabut Bakal Dinaik Taraf
SIBURAN: Penduduk Kampung Peraya dan Kampung Stabut bakal menikmati kemudahan perhubungan jalan raya yang lebih baik menerusi pelaksanaan projek menaik taraf jalan sepanjang laluan yang menghubungkan kedua-dua kampung itu dengan kos RM3.5 juta.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada dan bukannya pembinaan jalan baharu.
Menurutnya, projek itu telah diluluskan kira-kira dua tahun lalu, namun proses penyediaan dokumentasi oleh perunding dan agensi pelaksana serta urusan tender mengambil masa sebelum pelaksanaannya dapat dimulakan.
“Projek berkenaan melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan sedia ada sepanjang jajaran yang menghubungkan kedua-dua kampung dengan tempoh pelaksanaan kontrak selama 12 bulan, bermula November 2026 hingga November 2027.
“Antara skop utama projek termasuk penambahbaikan simpang masuk ke Kampung Peraya, pelebaran jalan, penurapan semula permukaan jalan serta kerja-kerja perlindungan cerun.
“Selain itu, projek berkenaan turut merangkumi kerja menaik taraf pembentung (culvert), penambahbaikan kawasan rendah yang mudah dilanda banjir serta menangani masalah hakisan di tepi jalan menerusi langkah penambahbaikan sistem saliran dan perlindungan cerun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran dan Penyerahan Tapak Projek di Dewan Kampung Peraya, di sini, pada Rabu.
Tambahnya, kerja-kerja perlindungan kawasan tanah yang mengalami hakisan berhampiran jambatan sedia ada juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan dan ketahanan infrastruktur jalan raya berkenaan.
Mengulas perancangan pembangunan seterusnya di kawasan Tarat, Dato Sri Roland berkata tumpuan pada masa hadapan turut merangkumi projek ekonomi, khususnya dalam sektor pertanian menerusi Jabatan Pertanian dan agensi seperti FELCRA.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu GKCDA menjelaskan, masih banyak perkara yang ingin dilaksanakan, namun enggan membuat sebarang janji pilihan raya berkaitan projek yang belum direalisasikan. -EDISI UKAS