RM677,000 Peruntukan MRP Disalurkan Untuk Pembangunan Komuniti Pulau Bruit
DARO: Sebanyak RM677,000 peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada 12 penerima di Zon Utara dan Zon Selatan Pulau Bruit bagi melaksanakan pelbagai projek kemudahan asas serta penambahbaikan infrastruktur kampung.
Penyerahan peruntukan itu disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol pada Majlis Penyerahan MRP DUN N.42 Semop pada Selasa.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM473,000 diperuntukkan kepada tujuh penerima di Zon Utara, manakala RM204,000 lagi disalurkan kepada lima penerima di Zon Selatan Pulau Bruit.
Bagi Zon Utara, antara projek yang menerima peruntukan ialah kerja baik pulih gerai dan pusat komuniti Kampung Bruit berjumlah RM75,000, kerja menembok dan menyimen ruang hadapan Basal Telo di Tekajong (RM90,000) serta menaik taraf jalan dan kawasan hadapan Dewan Penipah dengan peruntukan keseluruhan RM118,000.
Peruntukan turut melibatkan kerja baik pulih padang futsal Kampung Salah Kecil (RM60,000), penambahbaikan jalan, tebing dan sistem saliran di SK Salah Kecil (RM25,000), baik pulih jambatan Kampung Penibong (RM55,000) serta pembinaan tempat letak kenderaan di belakang Dewan Komuniti Kampung Penuai (RM50,000).
Sementara itu, bagi Zon Selatan, sebanyak RM90,000 diperuntukkan untuk pembinaan jalan di Kampung Masjid Hilir Fasa 1, diikuti kerja menaik taraf pendawaian Balai Raya Kampung Saai (RM18,000) dan pembinaan tempat letak kenderaan Kampung Sedi (RM40,000).
Dua lagi projek melibatkan menaik taraf tempat letak kenderaan Kampung Sebako dengan peruntukan RM30,000 serta pembinaan gerai jualan untuk kegunaan komuniti Kampung Serdeng berjumlah RM26,000.
Penyaluran peruntukan berkenaan merupakan sebahagian daripada keseluruhan RM1.234 juta peruntukan MRP dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang disalurkan menerusi jelajah pembangunan dua hari Datuk Abdullah di sekitar Pulau Bruit dan Bintangor.
Pada Isnin, beliau turut mengadakan jelajah pembangunan di sekitar Bintangor yang melibatkan peruntukan MRP berjumlah RM207,000 kepada lima penerima serta sebuah projek RTP bernilai RM350,000 bagi menaik taraf padang futsal di Rumah Panjang Bida, Sungai Sian.
Secara keseluruhannya, peruntukan MRP bagi kedua-dua kawasan berjumlah RM884,000, manakala peruntukan RTP sebanyak RM350,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM1.234 juta.
Pelaksanaan projek berkenaan diharap dapat meningkatkan kemudahan asas, memperkukuh infrastruktur kampung serta menyediakan persekitaran lebih selesa dan selamat, sekali gus meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat. - EDISI UKAS