Peruntukan Tambahan Dipohon Bagi Bina Lebih 600 Rumah Di Kemuyang
SIBU: Usaha memperluas peluang pemilikan rumah kepada masyarakat di Sibu terus diberi perhatian menerusi perancangan mendapatkan peruntukan tambahan daripada Kerajaan Sarawak bagi membina baki lebih 600 unit rumah di Kemuyang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, projek perumahan yang merangkumi keseluruhan 800 lot itu setakat ini menyaksikan lebih 170 unit rumah berjaya disiapkan khusus untuk penduduk yang terjejas akibat projek pembangunan di Kampung Datu Lama.
“Yang tinggal lebih 600 lot lagi, saya akan bekerja keras untuk memohon peruntukan bagi menambah rumah-rumah di Kemuyang supaya dibuka kepada orang ramai dan semua dapat memiliki rumah,” katanya semasa Majlis Santai Kasih Bersama Warga Emas di Dewan Kelab MUC di sini pada Rabu.
Menurut beliau, usaha meneruskan pembangunan perumahan berkenaan penting bagi memastikan lebih ramai penduduk berpeluang memiliki kediaman sendiri, sekali gus meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup masyarakat.
Dalam pada itu, Datuk Dr Annuar menegaskan bahawa proses pemilihan penerima rumah dilaksanakan secara teliti dan berperingkat bagi memastikan hanya pemohon yang benar-benar layak mendapat manfaat.
Katanya, penilaian mengambil kira beberapa aspek termasuk latar belakang pemohon, asal-usul keluarga, status pemilikan tanah dan rumah serta kelayakan mendapatkan pembiayaan perumahan.
Senarai pemohon turut diperhalusi bersama jawatankuasa berkaitan sebelum dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Survei untuk semakan lanjut.
Pemohon yang melepasi tapisan seterusnya perlu memperoleh kelulusan pembiayaan daripada Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat pemohon yang berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan berikutan komitmen kewangan sedia ada meskipun memerlukan kediaman sendiri.
Sehubungan itu, beliau akan terus berusaha mencari penyelesaian bagi memastikan lebih ramai penduduk berpeluang menikmati manfaat pembangunan perumahan berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa pengagihan rumah dilaksanakan berdasarkan kriteria dan kelayakan ditetapkan, bukannya untuk memberi kelebihan kepada kelompok tertentu.-EDISI UKAS