Jumlah Pelajar UTS Meningkat Kepada Lebih 6,000 Orang Dalam Tempoh Lima Tahun
SIBU: Jumlah pelajar Universiti Teknologi Sarawak (UTS) meningkat daripada kira-kira 1,200 orang pada 2021 kepada lebih 6,000 orang dalam tempoh lima tahun, mencerminkan perkembangan akses pendidikan tinggi di Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, daripada jumlah tersebut, kira-kira 48 peratus merupakan pelajar Bumiputera berbanding hanya sekitar 10 peratus sebelum ini.
Menurut beliau, perkembangan itu merupakan antara contoh usaha Kerajaan Sarawak memperluas peluang pendidikan, termasuk kepada golongan kurang berkemampuan menerusi pelaksanaan dasar pendidikan percuma.
Beliau turut menekankan kepentingan perancangan pembangunan jangka panjang dalam menyediakan masa depan lebih baik kepada generasi muda Sarawak.
“Kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Premier bukan sahaja telah melaksanakan pelbagai program dan menyalurkan bantuan, malah yang paling penting, segala usaha beliau adalah demi masa depan.
“Saya percaya di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, masa depan anak-anak Sarawak semakin cerah,” katanya semasa Majlis Santai Kasih Bersama Warga Emas di Dewan Kelab MUC di sini pada Rabu.
Datuk Dr Annuar turut menyentuh kepentingan rakyat menilai prestasi kerajaan berdasarkan pencapaian semasa serta perancangan pembangunan jangka panjang, khususnya yang melibatkan masa depan generasi muda.
Turut hadir, Temenggong Dato Sri Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad dan Pemanca Sharifah Ainie Sayeed Alwie.-EDISI UKAS