11 Penerima Di Pulau Bruit Terima Dana CSR RM170,000
DARO: Sebanyak 11 penerima terdiri daripada institusi pendidikan, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) serta institusi keagamaan di Pulau Bruit menerima dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah berjumlah RM170,000.
Penyerahan cek sumbangan itu disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol pada Majlis Penyerahan Dana CSR di Dewan Kampung Semop, pada Selasa.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak RM120,000 disalurkan kepada enam sekolah dengan setiap sekolah menerima RM20,000 bagi menyokong keperluan serta pembangunan pendidikan.
Sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semop, Sekolah Kebangsaan (SK) Semop, SK Bakerkong, SK Kampung Kut, SK Kampung Tebaang dan SK Mohamad Redeh, Saai.
Sementara itu, baki RM50,000 disalurkan kepada lima penerima lain dengan setiap penerima menerima RM10,000.
Penerima terbabit ialah Surau Kampung Sedo, JKKK Kampung Semop, JKKK Kampung Saai, Tadika KEMAS Bakerkong dan Tabika KEMAS Darul Falah.
Penyaluran dana CSR itu mencerminkan komitmen Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah dalam menyokong pembangunan pendidikan, memperkukuh kemudahan komuniti serta membantu institusi keagamaan di kawasan luar bandar.
Sumbangan berkenaan diharap dapat membantu penerima menambah baik kemudahan masing-masing serta melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat, khususnya penduduk Pulau Bruit.- .EDISI UKAS