Cadangan Naik Taraf Lawas Sebagai Bahagian Baharu Dikaji
LAWAS: Kerajaan Sarawak akan mengkaji cadangan menaik taraf Lawas sebagai sebuah bahagian pentadbiran baharu dengan mengambil kira keperluan pembangunan, keberkesanan pentadbiran serta kepentingan kawasan sekitarnya termasuk Limbang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, cadangan tersebut memerlukan penelitian menyeluruh serta justifikasi kukuh sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Apa yang dikatakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan tadi, kita akan pertimbangkan mengenai Lawas menjadi bahagian.
“Kita akan kaji, termasuk berkaitan Limbang. Jika kita tukar begitu sahaja, nanti orang Limbang kecil hati.
“Tetapi kalau ada justifikasinya, ini akan menjadi bersepadu. Boleh kita terima. Saya serah kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak untuk membuat kajian dengan input yang baharu, kita akan lihat (pertimbangkan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas di sini pada Rabu.
Terdahulu, Datuk Amar Awang Tengah menyuarakan cadangan supaya Lawas dinaik taraf sebagai sebuah bahagian pentadbiran baharu bagi memudahkan urusan pentadbiran serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Dalam perkembangan lain, Premier Sarawak turut menyentuh hubungan erat antara Sarawak dengan Brunei Darussalam yang membolehkan pelbagai isu berkepentingan bersama diselesaikan menerusi pendekatan rundingan dan semangat kekeluargaan.
Menurut beliau, hubungan baik itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya dalam aspek penyelesaian isu dua hala.
“Terima kasih kepada Sultan Brunei yang telah banyak membantu kita dari sudut perbincangan dua hala antara Malaysia, khususnya Sarawak dengan Brunei. Kita dapat menyelesaikan masalah dalam suasana kekeluargaan.
“Perdana Menteri bertanya bagaimana kita dapat menyelesaikan isu. Ini kerana Brunei dan Sarawak adalah sekeluarga yang memberi hikmah kepada kedua-dua pihak.
“Semoga Limbang, Lawas, Brunei, Miri dan kawasan sekitarnya akan terus kita bangunkan,” katanya.
Beliau turut mengulangi komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperluas jaringan kerjasama tenaga serantau, termasuk menerusi rancangan penyambungan grid tenaga elektrik dengan Brunei Darussalam.
“Kita akan kongsi dengan Brunei. Sekarang pun sudah disambungkan ke Sabah.
“Kekuatan yang kita ada ini akan kita kongsi bersama dengan rakan dan jiran kita,” jelasnya.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali serta Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong.-EDISI UKAS