Limbang, Lawas Berpotensi Jadi Koridor Ekonomi Rentas Sempadan
LAWAS: Limbang dan Lawas berpotensi muncul sebagai koridor ekonomi rentas sempadan yang strategik di utara Sarawak, sekali gus membuka peluang lebih luas dalam sektor perdagangan, pelaburan dan pelancongan menerusi hubungan ekonomi dengan negara serta wilayah jiran.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kedudukan geografi kedua-dua kawasan yang bersempadan dengan Brunei Darussalam, Sabah dan Kalimantan, Indonesia memberikan kelebihan untuk berkembang sebagai hab pertumbuhan ekonomi baharu.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak terus memberikan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas bagi memperkukuh kesalinghubungan serta memastikan potensi ekonomi Limbang dan Lawas dapat dimanfaatkan secara optimum.
“Dengan kemudahan-kemudahan yang dibangunkan, kita boleh menjadikan Lawas, di bahagian paling utara Sarawak ini, sebagai gerbang kepada koridor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Pusat Pentadbiran Kerajaan Lawas yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Datuk Amar Awang Tengah berkata, projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak bagi pakej pertama dari Lawas ke kawasan berdekatan telah mencapai kemajuan kira-kira 80 peratus, manakala pembangunan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Limbang dengan kawasan sekitarnya terus dipergiat.
Katanya, beberapa projek pembinaan jambatan serta penaiktarafan infrastruktur di Limbang dan Lawas turut dilaksanakan menerusi peruntukan Kerajaan Sarawak bagi meningkatkan aksesibiliti dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Selain itu, pembangunan Lapangan Terbang Lawas dengan landasan sepanjang 2,500 meter dijangka menjadi pemangkin penting kepada peningkatan kesalinghubungan udara, khususnya bagi menyokong sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Limbang dan Lawas mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, pertanian, keterjaminan makanan, penternakan, pembuatan, minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.
Menurutnya, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) turut merancang pelaburan dalam sektor minyak dan gas bermula tahun depan dengan nilai hampir RM500 juta, melibatkan beberapa kawasan berpotensi termasuk Limbang dan Lawas.
"Perancangan pembangunan kedua-dua kawasan turut mengambil kira kajian Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2021 bagi mengenal pasti kawasan strategik serta potensi pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
"Pendekatan itu turut memberikan penekanan kepada kerjasama ekonomi rentas sempadan, khususnya dengan Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia, bagi memperkukuh kedudukan utara Sarawak sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi serantau.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa perpaduan rakyat merupakan asas penting dalam memastikan segala agenda pembangunan negeri ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Aset terbesar yang kita miliki ialah perpaduan rakyat. Walaupun kita terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, keturunan, bahasa dan budaya yang berbeza, kekuatan kita adalah apabila kita bersatu padu dan bekerjasama antara satu sama lain,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali dan Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong.-EDISI UKAS