Stigma Masyarakat Punca Individu Tidak Dapatkan Bantuan
KUCHING: Stigma masyarakat terhadap individu yang mendapatkan bantuan kesihatan mental masih menjadi antara penyebab utama kepada usaha menangani isu berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah berkata, tanggapan negatif bahawa individu yang mendapatkan khidmat kaunseling merupakan golongan lemah perlu diubah menerusi pendidikan, peningkatan kesedaran dan perbincangan terbuka mengenai kesihatan mental.
“Perkara itu berlaku pada masa dahulu dan kita tidak mahu perkara sama terus berlaku pada zaman sekarang.
Mendapatkan khidmat kaunseling bukan bermakna seseorang itu lemah. Sebaliknya, ia memberi peluang kepada individu untuk melihat sesuatu perkara daripada perspektif yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Serantau Konsortium Institut Keluarga di Rantau Asia (CIFA) 2026 di sini, pada Rabu.
Mengimbas pengalamannya sebagai guru sebelum ini, Dato Sri Fatimah berkata, terdapat pelajar yang enggan berjumpa kaunselor kerana bimbang dipandang negatif oleh rakan sebaya.
Menurutnya, stigma sama turut berlaku dalam persekitaran tempat kerja apabila individu yang mendapatkan bantuan berkaitan kesihatan mental berdepan tanggapan negatif masyarakat.
“Kita perlu memastikan stigma ini tidak terus menghalang individu daripada mendapatkan bantuan yang diperlukan. Kesan daripada sikap berdiam diri itu terlalu besar untuk dipandang ringan,” ujar beliau.
Untuk rekod, sebanyak 35.8 peratus individu di Sarawak dilaporkan mempunyai kebimbangan berkaitan kesihatan mental, manakala seorang daripada empat mengalami simptom kemurungan.
Simposium Serantau Konsortium Institut Keluarga di Rantau Asia (CIFA) 2026 bertemakan "Building Bridges:
Mental Health and Resilience Across Generations in the Al Era,” itu menghimpunkan penggubal dasar, penyelidik, pengamal klinikal dan pemimpin komuniti dari lebih 10 negara dan wilayah
Simposium selama tiga hari bermula hari ini hingga 20 November itu membincangkan isu kesihatan mental serta daya tahan keluarga merentas generasi dalam era kecerdasan buatan (AI).-EDISI UKAS