Kapasiti Loji Rawatan Air Trusan Ditingkatkan Kepada 50 Juta Liter Sehari
LAWAS: Kapasiti Loji Rawatan Air Trusan bakal ditingkatkan daripada 40 juta liter sehari (MLD) kepada 50 MLD bagi memperkukuh kestabilan bekalan air terawat, sekali gus memenuhi keperluan penduduk serta menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Lawas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penaiktarafan loji berkenaan merupakan langkah penting dalam memastikan sistem bekalan air di Lawas mempunyai kapasiti mencukupi untuk menampung peningkatan permintaan pada masa hadapan.
“Loji Rawatan Air Trusan adalah loji utama kami. Ini merupakan bekalan air untuk kawasan kami di Lawas.
“Pada masa ini, loji ini mempunyai kapasiti 40 MLD dan ini akan ditambah menjadi 50 MLD,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pecah Tanah Projek Loji Rawatan Air Trusan Baharu dan Simbolik Pelancaran Sambungan Grid 275kV ke Lawas dan Limbang yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini pada Rabu.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, projek berkenaan turut melibatkan penambahbaikan sistem pengambilan air mentah bagi meningkatkan kecekapan dan kestabilan operasi loji, khususnya ketika berdepan perubahan keadaan sungai serta kesan perubahan iklim.
Katanya, pengalaman gangguan bekalan air yang pernah berlaku di Lawas memperlihatkan keperluan memperkukuh infrastruktur sedia ada, termasuk menyediakan sistem sokongan yang lebih berdaya tahan bagi menjamin kesinambungan bekalan kepada pengguna.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa bekalan air yang stabil bukan sahaja penting untuk kesejahteraan penduduk, malah menjadi antara faktor utama dalam menarik pelaburan dan merancakkan pembangunan industri.
Jelasnya, berdasarkan pertemuan dengan pelabur luar negara, keupayaan Sarawak menyediakan bekalan air dan tenaga elektrik yang mencukupi pada harga kompetitif sering menjadi antara pertimbangan utama sebelum sesuatu keputusan pelaburan dibuat.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong dan Ketua-ketua Jabatan.-EDISI UKAS