Lima Blok Pasar Dibina Di Tebedu Menerusi Projek RM4.82 Juta
TEBEDU: Lima blok pasar baharu bakal dibina di Dataran Mutiara Tebedu menerusi projek pembangunan Tapak Pertanian Terbuka Tebedu bernilai RM4.82 juta bagi menyediakan ruang perniagaan lebih teratur kepada peniaga kecil, petani dan usahawan tempatan.
Projek di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) itu turut merangkumi pembinaan sebuah pentas terbuka berbumbung bagi menyokong penganjuran aktiviti masyarakat dan program setempat.
Majlis pecah tanah projek berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben di Dataran Mutiara Tebedu pada Rabu.
Kerja pembinaan bermula pada 19 Jun 2026 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 18 Oktober 2027, dengan tempoh pelaksanaan selama 16 bulan.
Apabila siap kelak, kemudahan pasar berkenaan dijangka menyediakan ruang yang lebih sesuai untuk aktiviti jual beli hasil pertanian dan produk tempatan, sekali gus memberi peluang kepada peniaga serta usahawan kecil menjalankan perniagaan dalam persekitaran lebih kondusif.
Pembangunan itu juga merupakan antara inisiatif GKCDA dalam menyediakan kemudahan infrastruktur bagi menyokong aktiviti perdagangan dan ekonomi masyarakat di kawasan Tebedu. - EDISI UKAS