Percikan Bunga Api Warnai Perasmian Jambatan Bandar Lawas, Mercu Tanda Baharu Jadi Tumpuan
LAWAS: Langit malam Bandar Lawas bermandikan cahaya apabila percikan bunga api berwarna-warni menerangi ruang udara, mencipta suasana penuh gemilang sempena perasmian Jambatan Bandar Lawas pada Rabu.
Pertunjukan bunga api yang memukau menjadi kemuncak sambutan bersejarah itu, dengan limpahan cahaya yang menghiasi langit menyerlahkan keindahan jambatan berkenaan, sekali gus menambahkan kemeriahan suasana malam.
Lebih mengujakan, pancaran lampu di sepanjang struktur jambatan yang tersergam indah menghasilkan panorama malam yang mempesonakan, sekali gus memperlihatkan wajah baharu Bandar Lawas yang semakin pesat membangun.
Detik istimewa itu turut melakar satu lagi sejarah pembangunan Lawas apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyempurnakan perasmian jambatan berkenaan sekaligus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur perhubungan di wilayah utara Sarawak.
Jambatan sepanjang 642 meter yang dibina dengan kos RM149.86 juta dan siap sepenuhnya pada 15 Oktober 2026 itu kini berdiri megah sebagai mercu tanda baharu yang mengubah landskap Bandar Lawas.
Menampilkan konsep jambatan ikonik sebagai pintu masuk moden ke utara Sarawak, struktur berkenaan direka dengan empat menara gerbang setinggi 44.3 meter setiap satu, dilengkapi lapan kubah hiasan, gerbang utama serta sistem pencahayaan estetik yang menyerlahkan keunikan seni binanya.
Menariknya, idea reka bentuk jambatan itu diilhamkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan selepas meneliti beberapa jambatan ikonik di luar negara dengan hasrat mewujudkan sebuah mercu tanda yang mempunyai identiti tersendiri bagi Bandar Lawas.
Gabungan elemen seni bina moden, kubah hiasan dan pencahayaan diod pemancar cahaya (LED) pada kabel gantung menjadikan jambatan berkenaan bukan sekadar laluan penghubung, malah berpotensi muncul sebagai tarikan baharu kepada pengunjung, khususnya pada waktu malam.
Menghubungkan Jalan Pulau Salam dengan Kampung Ladang Baru merentasi Sungai Lawas, jambatan tersebut turut menyediakan akses perhubungan lebih baik kepada penduduk serta memperkukuh jaringan Northern Coastal Highway (NCH) menuju ke Merapok dan sempadan Sabah.
Pembukaan jambatan strategik itu dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat menerusi kelancaran pergerakan, peningkatan akses serta peluang pertumbuhan ekonomi dan aktiviti sosioekonomi setempat.-EDISI UKAS