Manfaat Kepada Rakyat Jadi Ukuran Kejayaan Pembangunan
LAWAS: Manfaat yang dinikmati rakyat menerusi kemudahan perhubungan lebih baik, akses kepada pasaran dan kemudahan asas perlu menjadi ukuran utama kejayaan sesuatu pembangunan, bukan sekadar jumlah peruntukan atau projek yang dilaksanakan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan sebenar perlu membawa perubahan positif yang dapat dirasai secara langsung dalam kehidupan masyarakat.
“Pembangunan sebenar tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah peruntukan yang disalurkan atau bilangan projek yang diumumkan, tetapi melalui perubahan yang dibawa kepada kehidupan rakyat.
“Apabila perjalanan menjadi lebih mudah, hasil pertanian dapat dipasarkan dengan lebih cepat dan kemudahan asas lebih mudah diakses, ketika itulah pembangunan benar-benar membawa perubahan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) sempena Majlis Perasmian Jambatan Bandar Lawas, pada Rabu.
Jambatan sepanjang 642 meter bernilai RM149.86 juta itu merentasi Sungai Lawas, menghubungkan Jalan Pulau Salam dengan Kampung Ladang Baru dan siap pada 15 Oktober lalu, hampir tiga bulan lebih awal daripada jadual asal.
Projek yang dilaksanakan oleh RECODA menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) itu turut memperkukuh jaringan Lebuhraya Pesisir Utara (NCH) ke arah Merapok dan sempadan Sabah.
Kesalinghubungan lebih baik itu dijangka melancarkan pergerakan penduduk serta membuka peluang kepada perkembangan aktiviti perdagangan, pelancongan dan pelaburan, sekali gus menyokong potensi Lawas sebagai pusat pertumbuhan strategik di utara Sarawak.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi NRDA, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam kenyataan yang sama berkata, pembangunan wilayah perlu dirancang berdasarkan kekuatan dan kelebihan strategik setiap kawasan supaya pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih saksama.
Menurutnya, setiap pelaburan pembangunan perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat melalui penyediaan kemudahan awam yang lebih baik, peluang pekerjaan dan peningkatan taraf hidup.
Jambatan Bandar Lawas merupakan antara 159 inisiatif infrastruktur dan sosioekonomi di kawasan pembangunan NRDA.
Majlis perasmian itu turut menyaksikan penyampaian dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR), masing-masing kepada Jambatan Bandar Lawas bagi kategori ‘Longest LED Light Display on a Cantilever Bridge’ dan projek NCH bagi kategori ‘Largest 3D Printed Civil Infrastructure Model’.
Pengiktirafan itu menambah pencapaian NCH selepas menerima anugerah kategori ‘Aspiring Sustainability Infrastructure Project’ pada ‘Green and Geopark Excellence Awards’ (GAGA) 2026 pada 6 Oktober lalu. -EDISI UKAS