Tebingan Sungai Lawas Dirancang Dinaik Taraf, Perkukuh Tarikan Bandar
LAWAS: Tebingan Sungai Lawas berpotensi dibangunkan dan dinaik taraf menjadi antara kawasan tebingan sungai tercantik di wilayah ini sebagai sebahagian daripada usaha memperindah landskap bandar serta meningkatkan daya tarikan Lawas.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau bersetuju dengan cadangan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan untuk menaik taraf kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa sebarang kelulusan terhadap cadangan pembangunan itu hanya boleh dipertimbangkan selepas pembentukan kerajaan baharu susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
“Saya bersetuju dengan Datuk Amar Awang Tengah untuk menjadikan Tebingan Sungai Lawas tercantik di wilayah ini.
“Tetapi dengan satu syarat, saya tidak dapat meluluskannya pada hari ini. Kerana saya tidak ada kuasa.
“Mandat saya telah ‘colop’, 23 hari bulan lepas. Tetapi jika diberi balik (mandat) 12 Disember nanti, insya-Allah ini akan berubah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Jambatan Bandar Lawas di sini pada Rabu.
Terdahulu, Datuk Amar Awang Tengah dalam ucapannya menyuarakan hasrat untuk melihat Tebingan Sungai Lawas dinaik taraf bagi melengkapi pembangunan infrastruktur bandar, khususnya selepas siapnya Jambatan Bandar Lawas.
Sementara itu, Jambatan Bandar Lawas sepanjang 642 meter yang dibina dengan kos RM149.86 juta telah siap sepenuhnya pada 15 Oktober 2026.
Jambatan yang menghubungkan Jalan Pulau Salam dengan Kampung Ladang Baru merentasi Sungai Lawas itu bukan sahaja memudahkan pergerakan harian penduduk, malah memperkukuh jaringan perhubungan menerusi Northern Coastal Highway (NCH) ke arah Merapok dan sempadan Sabah.
Pada majlis sama, Premier Sarawak turut menyaksikan pengiktirafan terhadap dua projek di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), iaitu NCH dan Jambatan Bandar Lawas menerusi Malaysia Book of Records (MBOR) serta Green and Geopark Excellence Awards (GAGA) 2026.
Projek NCH menerima pengiktirafan MBOR bagi kategori Largest 3D Printed Civil Infrastructure Model, manakala Jambatan Bandar Lawas diiktiraf bagi kategori Longest Decorative Cable Structure Installed on a Balanced Cantilever Bridge di Malaysia.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong dan Ketua-ketua Jabatan.-EDISI UKAS