RM41.25 Juta Bangunkan Hab Ekonomi Baharu Di Pintu Sempadan Tebedu
TEBEDU: Kawasan sempadan Tebedu bakal dilengkapi hab ekonomi dan kebudayaan bernilai RM41.25 juta menerusi pembinaan Kompleks Ekonomi dan Kebudayaan Tebedu (KEKT), yang menyediakan ruang niaga, pusat pameran, hab transit serta kemudahan kebudayaan dalam satu kawasan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben menyempurnakan majlis pecah tanah projek berkenaan pada Rabu.
Dibiayai menerusi Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), kompleks itu dirancang sebagai pusat sehenti yang menggabungkan empat komponen utama, iaitu Cultural Hub, Piazza, Transit Hub dan Economic Hub.
Kemudahan berkenaan turut merangkumi pusat pameran dan pejabat bagi menyediakan ruang kepada aktiviti perdagangan, pameran produk serta program komuniti.
Penyediaan ruang niaga dan pameran dijangka memberi peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka, selain menyokong aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan pergerakan pengunjung dan perdagangan rentas sempadan.
Dengan kedudukannya berhampiran ICQS Tebedu, kompleks itu turut dirancang untuk meningkatkan fungsi Bandar Mutiara Tebedu sebagai pusat kegiatan ekonomi dan pelancongan di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia.
Projek bernilai RM41,255,409.29 itu mula dilaksanakan pada 20 Oktober 2026 dan dijadualkan siap pada 19 April 2029 dengan tempoh pembinaan selama 30 bulan. -EDISI UKAS