Jambatan Ikonik Pacu Transformasi Bandar Lawas, Tarikan Pelancongan Baharu
LAWAS: Jambatan Bandar Lawas yang dibina dengan kos RM149 juta bukan sekadar menghubungkan kawasan di kedua-dua belah Sungai Lawas, malah menjadi mercu tanda ikonik yang berpotensi mengubah landskap bandar itu sebagai destinasi pelancongan dan pusat pertumbuhan ekonomi baharu di utara Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, jambatan sepanjang 642 meter itu menampilkan reka bentuk unik yang diinspirasikan daripada seni bina jambatan di Eropah, sekali gus memberikan identiti tersendiri kepada Bandar Lawas.
“Jambatan ini mempunyai reka bentuk yang berlainan di Malaysia dan juga di Sarawak, Lawas.
“Reka bentuk jambatan ini sama seperti di negara Eropah,” ujarnya semasa Majlis Perasmian Jambatan Bandar Lawas di sini pada Rabu.
Premier Sarawak menambah, pembinaan jambatan ikonik itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh potensi Lawas sebagai destinasi pelancongan, selain menyokong pembangunan ekonomi berasaskan teknologi hijau dan rendah karbon.
“Kenapa kita membuat jambatan yang ikonik ini? Ini kerana Lawas mempunyai potensi dalam sektor pelancongan. Kedua ialah Lawas mempunyai ekosistem, prasarana yang sesuai dengan ekonomi rendah karbon.
“Dan sudah tentu ini menjadi tarikan kepada orang luar,” tambahnya.
Selain menjadi tarikan pelancongan, jambatan berkenaan turut meningkatkan kesalinghubungan antara pusat bandar dengan kawasan di seberang Sungai Lawas, sekali gus memudahkan mobiliti penduduk serta membuka peluang kepada peluasan kawasan pembangunan dan aktiviti ekonomi setempat.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, peningkatan keupayaan kewangan Sarawak membolehkan kerajaan terus memperkukuh pembangunan infrastruktur dan menyediakan kemudahan asas yang lebih baik kepada rakyat.
Katanya, hasil negeri diunjurkan mencecah RM15.091 bilion pada 2027 berbanding kira-kira RM6 bilion ketika beliau mula menerajui pentadbiran Sarawak.
Beliau turut menekankan bahawa kemajuan ekonomi perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan menerusi pendidikan dan peningkatan kemahiran bagi melahirkan lebih ramai graduan berdaya saing serta meningkatkan pendapatan isi rumah.-EDISI UKAS