Jambatan Bandar Lawas Buka Lembaran Baharu, Perdagangan Rentas Sempadan
LAWAS: Jambatan Bandar Lawas bukan sekadar meningkatkan kesalinghubungan jalan raya, malah membuka lembaran baharu pembangunan bandar itu sebagai pusat pertumbuhan ekonomi, perdagangan rentas sempadan dan pelaburan strategik di utara Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, siapnya jambatan berkenaan membolehkan perancangan pembangunan Bandar Lawas disusun semula secara lebih menyeluruh, termasuk memperluas kawasan pembangunan di kedua-dua belah Batang Lawas, khususnya Kampung Seberang Kedai dan kampung-kampung sekitarnya.
“Siapnya jambatan ini, ia akan memudahkan kita membuat perancangan bagi pembangunan Bandar Lawas.
“Dan ini telah pun kita usahakan supaya kita dapat melihat semula pelan pembangunan sebelum ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Bandar Lawas yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini pada Rabu.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, pembangunan Lawas turut diperkukuh menerusi perancangan pembinaan Lapangan Terbang Lawas dengan landasan sepanjang 2,500 meter, selain pembangunan pelabuhan dan kawasan perindustrian bagi merancakkan aktiviti perdagangan serta menarik pelaburan baharu.
Katanya, perancangan pembangunan pelabuhan itu mempunyai potensi besar untuk menyokong pertumbuhan sektor perindustrian, mengambil kira kedalaman perairan di kawasan berkenaan yang sesuai untuk pengoperasian kapal bersaiz besar.
Dalam masa sama, beliau menekankan keperluan memanfaatkan kedudukan strategik Lawas yang bersempadan dengan Brunei Darussalam bagi memperluas jaringan perdagangan, pelancongan dan kerjasama ekonomi serantau.
“Negara Brunei Darussalam adalah jiran kita. Kita mempunyai hubungan yang rapat. Bukan sahaja hubungan kerajaan antara kerajaan malah hubungan kekeluargaan yang rapat.
“Dan ini kita melihat, perdagangan rentas sempadan yang dapat kita usahakan dan laksanakan demi kepentingan bersama,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembangunan Lawas perlu dilaksanakan secara bersepadu dengan mengambil kira potensi sektor pertanian, pelancongan dan perdagangan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati masyarakat setempat.-EDISI UKAS