Eatery Park, Medan Bangkita Bakal Jadi Tarikan Baharu Limbang
LIMBANG: Eatery Park dan Medan Bangkita bakal dibangunkan dengan konsep perniagaan baharu yang dijangka menjadi antara tarikan utama kepada penduduk serta pengunjung ke daerah ini menjelang 2027.
Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Sufian Mohat berkata, kedua-dua lokasi berkenaan akan menampilkan konsep perniagaan berbeza bagi meningkatkan daya tarikan kawasan komersial di Limbang.
“Pada masa yang sama, kita memberi ruang dan peluang kepada syarikat-syarikat besar di luar sana untuk melabur di Limbang supaya Limbang ini juga menjadi salah satu tempat yang menarik dalam hal perniagaan itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Menandatangani Perjanjian Sewa Eatery Park dan Medan Bangkita, di sini, Rabu.
Menurutnya, Eatery Park yang terletak di kawasan Tebingan Sungai Limbang akan menampilkan konsep makanan dan minuman lebih eksklusif menerusi kemasukan francais dari luar dengan kos pengubahsuaian dianggarkan RM1 juta.
Tambahnya, premis berkenaan dijangka mula beroperasi pada Januari 2027, manakala Medan Bangkita akan dibangunkan dengan konsep pasar mini yang menawarkan pelbagai barangan keperluan kepada pengunjung.
Dalam perkembangan berkaitan, Sufian memberitahu, Medan Selera turut dikenal pasti sebagai antara kawasan berpotensi untuk dibangunkan menerusi pendekatan sama bagi meningkatkan mutu pengurusan dan aktiviti perniagaan.
Selain itu katanya, beberapa Anjung Usahawan di Medamit, Kampung Pahlawan dan Penapak turut diberi perhatian dengan penyerahan pengurusan kepada operator bersesuaian bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan secara optimum. -EDISI UKAS