Miri Dipacu Menjadi Bandar Peranginan Pintar Bertaraf Antarabangsa
MIRI: Miri bakal melalui transformasi daripada bandar yang sinonim dengan industri minyak dan gas kepada bandar peranginan pintar (smart resort city) bertaraf antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan, pelaburan dan penganjuran acara antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, transformasi itu memerlukan pembangunan bandar yang menyeluruh dengan menggabungkan kemajuan teknologi, kekayaan budaya, keindahan alam semula jadi serta persekitaran yang bersih, sihat dan kondusif.
“Visi Miri bukan lagi hanya untuk menjadi bandar minyak, tetapi beralih kepada apa yang kita panggil sebagai resort city,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kenyalang Convention and Exhibition Centre One (KCEC One) di Kenyalang Smart City di sini pada Khamis.
Premier Sarawak menambah, pembangunan KCEC One merupakan antara langkah penting dalam memperkukuh keupayaan Miri sebagai hab Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE), sekali gus membuka peluang menarik lebih banyak penganjuran acara bertaraf antarabangsa.
Katanya, kelebihan Miri bukan sekadar terletak pada kemudahan persidangan moden, malah turut disokong kekayaan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya Sarawak yang mampu menawarkan pengalaman unik kepada pelancong serta peserta persidangan.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan pembangunan bandar masa depan yang mengimbangi penggunaan teknologi pintar dengan pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan aspirasi pembangunan Kenyalang Smart City.
Transformasi berkenaan juga dijangka memberikan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat, khususnya menerusi pertumbuhan sektor perhotelan, makanan dan minuman, hiburan serta pelbagai perkhidmatan sokongan pelancongan.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut menekankan kepentingan memperkukuh kesalinghubungan udara bagi meningkatkan akses ke Miri dan destinasi lain di Sarawak.
Menurut beliau, penubuhan AirBorneo dijangka memainkan peranan penting dalam memperluas jaringan penerbangan, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan MICE di negeri ini.
Beliau yakin gabungan infrastruktur moden, kemudahan bertaraf antarabangsa, keunikan alam semula jadi serta jaringan pengangkutan yang lebih baik mampu meningkatkan daya saing Miri sebagai destinasi pilihan di rantau ini.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin dan Residen Bahagian Miri, Galong Luang.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Mohamad Ishya Sabu