Teknologi ‘Humanoid Doctor’ Berpotensi Ubah Landskap Perkhidmatan Kesihatan
MIRI: Teknologi kecerdasan buatan (AI) berpotensi mengubah landskap perkhidmatan kesihatan pada masa depan menerusi pembangunan ‘Humanoid Doctor’ yang mampu membantu proses diagnosis, analisis maklumat perubatan serta penyediaan rawatan lebih diperibadikan mengikut keperluan pesakit.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkembangan pesat teknologi AI membuka dimensi baharu dalam bidang perubatan, khususnya menerusi keupayaan mengintegrasikan pelbagai data kesihatan bagi membantu doktor menentukan pendekatan rawatan yang lebih bersesuaian.
“Teknologi AI pada masa depan berupaya mengintegrasikan pelbagai maklumat perubatan dalam satu platform sebelum dianalisis untuk membantu doktor menentukan pendekatan rawatan yang sesuai.
“Dalam masa akan datang, kita akan melihat humanoid doctor, bukannya doktor sebenar tetapi humanoid yang mempunyai kecerdasan buatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Kenyalang Convention and Exhibition Centre One (KCEC One) di Kenyalang Smart City di sini pada Khamis.
Sementara itu, menurut beliau, antara perkembangan yang berpotensi dimanfaatkan ialah konsep perubatan integratif (integrative medicine) yang menggabungkan pendekatan perubatan Barat dan Timur bagi menyediakan rawatan lebih menyeluruh serta bersesuaian dengan keadaan pesakit.
Katanya, kemajuan teknologi turut membuka kemungkinan interaksi antara pesakit dengan doktor secara maya menerusi penggunaan teknologi realiti maya (VR), termasuk paparan wajah dan suara yang menyerupai doktor sebenar.
Pendekatan itu berpotensi memperluas kaedah penyampaian perkhidmatan kesihatan, khususnya melalui penggunaan sistem pintar yang mampu memproses dan menganalisis maklumat perubatan secara bersepadu.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kecanggihan AI tetap mempunyai batasan kerana teknologi tersebut tidak memiliki kebijaksanaan yang terbentuk daripada pengalaman dan pertimbangan manusia.
Sehubungan itu, peranan doktor sebenar kekal penting, khususnya dalam menilai ketepatan maklumat, membuat pertimbangan klinikal serta menentukan keputusan rawatan yang bersesuaian.
Beliau turut menyentuh potensi penggunaan data pintar (intelligent data) dan teknologi cip generasi baharu dalam menyokong pembangunan sistem perubatan yang lebih canggih pada masa hadapan.
Jelas beliau, perkembangan berkenaan mencerminkan potensi besar teknologi AI dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, berasaskan data dan berorientasikan keperluan individu.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Mohamad Ishya Sabu