Sambungan Grid 275kV Perkukuh Bekalan Elektrik Lawas, Limbang
LAWAS: Penduduk di Lawas dan Limbang kini menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil dan boleh dipercayai susulan penyambungan kedua-dua daerah itu ke grid elektrik Sarawak yang siap sepenuhnya pada Julai 2026.
Pelaksanaan projek berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuh infrastruktur bekalan elektrik di Wilayah Utara Sarawak, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap penjanaan berasaskan diesel.
Menerusi sambungan grid tersebut, kedua-dua daerah kini mendapat manfaat daripada sistem bekalan elektrik Sarawak yang sebahagian besarnya berteraskan penjanaan hidroelektrik sebagai sumber tenaga boleh baharu utama negeri.
Simbolik pelancaran sambungan grid 275 kilovolt (kV) ke Lawas dan Limbang telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Trusan, Lawas pada Rabu.
Majlis berkenaan diadakan bersempena Majlis Pecah Tanah Projek Loji Rawatan Air Trusan Baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Dato Ruslan Abdul Ghani berkata, kejayaan mengintegrasikan kedua-dua daerah ke grid elektrik Sarawak merupakan pencapaian penting dalam meningkatkan kebolehpercayaan serta daya tahan sistem bekalan elektrik di Wilayah Utara.
“Dengan Lawas dan Limbang kini terhubung ke grid elektrik Sarawak, daya tahan sistem bekalan elektrik dapat diperkukuh bagi memastikan bekalan yang lebih stabil dan boleh dipercayai kepada pengguna.
“Pada masa yang sama, infrastruktur ini menyediakan asas yang lebih kukuh bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat dan menyokong pembangunan ekonomi setempat. Ia juga membuka peluang untuk merancang peluasan bekalan elektrik ke kawasan luar bandar seperti Batu Danau dan Ulu Medamit pada masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan media Sarawak Energy pada Rabu.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan Sarawak Energy dalam memastikan bekalan elektrik yang mampan dan mampu milik dapat dinikmati masyarakat di seluruh negeri.
“Ini selaras dengan komitmen Sarawak Energy untuk menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai, mampan dan mampu milik bagi menyokong pembangunan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat Sarawak,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Lawas terlebih dahulu disambungkan ke grid elektrik Sarawak selepas infrastruktur penghantaran ditauliahkan pada November 2025, dengan bekalan elektrik mula disalurkan pada 4 Disember tahun sama.
Penyambungan itu kemudian diperluas ke Limbang pada 31 Julai 2026 menerusi pentauliahan Pencawang Masuk Utama (PMU) 275kV Limbang Town serta pengaktifan talian penghantaran 275kV Bunut-Medamit-Limbang.
Projek sambungan grid ke Limbang melibatkan pembinaan kira-kira 228 kilometer talian penghantaran 275kV yang disokong oleh menara penghantaran dan struktur monopol, bermula dari Bunut melalui Medamit sehingga ke PMU Bandar Limbang.
Penyempurnaan sambungan grid berkenaan turut menyediakan asas infrastruktur tenaga yang lebih kukuh bagi menampung pertumbuhan permintaan elektrik, menyokong pembangunan ekonomi setempat serta membuka ruang kepada peluasan bekalan elektrik di kawasan luar bandar pada masa hadapan.-EDISI UKAS