LAKIS Rancang Bina Premis Baharu Tadika Berhampiran Masjid An-Nur Sibu
SIBU: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS) merancang membina bangunan baharu tadika berhampiran Masjid An-Nur Sibu dengan anggaran kos RM4 juta bagi menyediakan kemudahan lebih sesuai untuk keperluan pendidikan awal kanak-kanak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Pengerusi LAKIS, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, Tadika LAKIS di Jalan Kuda yang telah beroperasi selama 34 tahun akan menghentikan sementara operasinya mulai tahun depan sementara menunggu pembinaan premis baharu berkenaan.
“Pelan semua sudah sedia, tapak pun sudah ada di sebelah masjid dan di sebelah sekolah. Kita hanya menunggu kelulusan peruntukan untuk memulakan kerja pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Tadika LAKIS Sesi 2026 di Dewan LAKIS, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, pelan pembinaan dan tapak berhampiran masjid serta sekolah telah disediakan, namun pelaksanaan projek itu masih menunggu kelulusan peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR).
Beliau menambah, perancangan pembinaan bangunan baharu itu telah dibuat lebih awal bagi memenuhi keperluan serta syarat yang ditetapkan, termasuk aspek lokasi dan keselamatan premis, dan bukan didorong oleh faktor pilihan raya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Tadika LAKIS kekal komited menawarkan kadar yuran yang rendah berbanding tadika swasta lain tanpa menjejaskan kualiti pendidikan, selaras dengan matlamat kebajikan badan tersebut.
Seramai 34 murid berusia lima dan enam tahun yang diraikan pada majlis berkenaan menerima sijil kecemerlangan serta hadiah.
Hadir sama Timbalan Pengerusi LAKIS merangkap Penyelia Tadika LAKIS, Mahmud Ahad, Setiausaha LAKIS, Jamil Julaihi, Penghulu Ibrahim Laili, Penghulu Fatimah Narawi dan Pemanca Sharifah Aini Alwi.-EDISI UKAS