Pendidikan Sepanjang Hayat Perkukuh Modal Insan Luar Bandar
ASAJAYA: Pendidikan sepanjang hayat perlu terus diperkasakan sebagai landasan membentuk masyarakat berilmu, berakhlak dan mempunyai pegangan agama yang kukuh.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penguasaan ilmu duniawi dan ukhrawi penting dalam membentuk individu yang bukan sahaja berpengetahuan, malah mempunyai nilai moral serta jati diri yang kuat.
“Pendidikan turut menjadi pemangkin perubahan sosioekonomi masyarakat luar bandar apabila semakin ramai generasi muda daripada keluarga yang bergantung kepada sektor pertanian dan perikanan berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi serta memperoleh peluang kerjaya lebih baik,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap Majlis Khatam Al-Quran di Kampung Serpan Laut, pada Khamis.
Sehubungan itu, beliau berharap program berkenaan dapat diteruskan dan diperkasakan kerana manfaatnya bukan sahaja tertumpu kepada peningkatan pengetahuan agama, malah turut membentuk akhlak.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan memelihara perpaduan serta mengamalkan sikap saling menghormati dan memahami antara masyarakat berbilang kaum dan agama.-EDISI UKAS