UNIFOR Salur RM26.33 Juta Bangunkan Rumah Ibadat, Sekolah Mubaligh Di Tarat
SIBURAN: Sebanyak RM26.33 juta diperuntukkan menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi 208 projek pembangunan rumah ibadat dan sekolah mubaligh di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan itu melibatkan 119 projek UNIFOR bernilai RM16.28 juta serta 89 projek sekolah mubaligh dengan kos RM10.05 juta.
Menurut beliau, bantuan berkenaan merupakan sebahagian daripada pendekatan pembangunan inklusif kerajaan Sarawak yang memastikan keperluan masyarakat pelbagai kaum dan agama turut diberi perhatian.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, di sini pada Khamis.
Dalam perkembagan lain, Datuk Amar Douglas Uggah turut menyentuh usaha kerajaan Sarawak menuntut hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk peningkatan pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan daripada RM300 juta kepada RM1.5 bilion.
Jelas beliau, pengambilalihan pengurusan Pelabuhan Bintulu juga merupakan antara langkah penting dalam usaha memperluas kuasa dan tanggungjawab Sarawak terhadap aset strategik negeri.
Selain itu, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, termasuk pendidikan tinggi percuma, bantuan kebajikan serta sokongan kepada rumah ibadat bukan Islam dan sekolah mubaligh menerusi UNIFOR.
Mengulas pembangunan di kawasan Tarat, beliau berkata kerajaan negeri akan terus memberi perhatian kepada kemudahan infrastruktur, termasuk jaringan jalan raya dan kemudahan awam, selain mempercepat pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dengan mengambil kira hak serta kepentingan masyarakat setempat.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn. -EDISI UKAS