ASAJAYA: Institusi pendidikan perlu terus memainkan peranan sebagai wadah memupuk perpaduan dan toleransi agama dalam kalangan generasi muda bagi mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran Majlis Khatam Al-Quran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Tambirat membuktikan bahawa perbezaan latar belakang kaum dan agama bukan penghalang kepada usaha membina persefahaman serta semangat kebersamaan.
Beliau berkata, pendekatan sedemikian wajar dihargai kerana memperlihatkan identiti Sarawak yang sentiasa mengutamakan sikap saling menghormati, toleransi dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pendidikan tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembentukan karakter, penguasaan ilmu agama serta kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi masa depan.
Katanya, penguasaan pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin turut menjadi kelebihan kepada generasi muda untuk melanjutkan pengajian, memasuki pasaran pekerjaan serta bersaing dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.-EDISI UKAS