PIBG SMK Beladin Terima Peruntukan, Sokong keperluan Dan Pembangunan Sekolah
PUSA: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beladin menerima peruntukan RM100,000 bagi menyokong keperluan dan pembangunan sekolah.
Peruntukan itu diumumkan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli menerusi teks ucapan yang dibacakan Pegawai Daerah Pusa, Hamdan Katang pada Majlis Graduasi Kali Ke-16 dan Apresiasi Kecemerlangan Murid Tahun 2026 di SMK Beladin, pada Rabu.
Beliau berkata pendidikan merupakan antara jalan terbaik untuk mengubah kehidupan dan membina masa hadapan yang lebih cerah.
Menurutnya, latar belakang keluarga serta kekangan kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pelajar untuk mengejar cita-cita dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau turut menggalakkan pelajar memanfaatkan pelbagai inisiatif bantuan serta peluang pendidikan percuma yang disediakan Kerajaan Sarawak, termasuk kemudahan melalui yayasan berkaitan.
Sementara itu, Pengetua SMK Beladin, Abdul Talip Sulaiman berkata, majlis graduasi berkenaan membawa makna tersendiri kepada pelajar Tingkatan Lima yang bakal menamatkan alam persekolahan dan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, calon SPM perlu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persiapan peperiksaan bertulis yang dijadualkan bermula minggu hadapan, selain mendapatkan sokongan moral dan dorongan berterusan daripada ibu bapa.
Beliau berkata, pihak sekolah akan memberi penekanan terhadap pembentukan nilai diri, adab dan sahsiah pelajar pada 2027, selain melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan prestasi akademik serta mengembangkan potensi mereka.
Dalam pada itu, pelajar yang mempunyai kecenderungan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu diberikan galakan serta peluang untuk mengembangkan bakat masing-masing sebagai persediaan menghadapi keperluan masa hadapan.
Beliau turut menyambut baik usaha Kerajaan Sarawak memperkasa pendidikan teknikal dan latihan kemahiran bagi memastikan pelajar mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk menceburi pelbagai bidang kerjaya.
Majlis tersebut turut menjadi platform mengiktiraf usaha dan pencapaian pelajar, selain menghargai komitmen guru serta ibu bapa dalam menyokong kecemerlangan pendidikan.
Hadir sama Yang Dipertua PIBG SMK Beladin, Darus Kepli, Pemanca Daerah Pusa, Rosli Uji dan Penghulu Zon Beladin, Pusa, Zakaria Mos.-EDISI UKAS