Kerjasama Pemimpin Masyarakat Penting Kenal Pasti Golongan Memerlukan
ASAJAYA: Kerjasama antara pentadbiran kawasan dengan pemimpin masyarakat penting bagi mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerjasama erat antara kedua-dua pihak membolehkan keadaan serta keperluan penduduk di setiap kampung dikenal pasti dengan lebih baik.
“Ketua masyarakat dan ketua kaum mempunyai peranan penting dalam menyampaikan maklumat mengenai penduduk yang memerlukan perhatian, berdasarkan pengetahuan mereka terhadap keadaan komuniti setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan 504 bakul makanan anjuran Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Asajaya, pada Khamis.
Tambah Dato Sri Abdul Karim, program kebajikan seumpama itu wajar diteruskan dari semasa ke semasa, termasuk pada bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya, bagi membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Dato Chek Bujang dan Ketua Wanita PBB Cawangan Asajaya Mahani Sahari. -EDISI UKAS