Mandat Rakyat Amanah Besar Dalam Menentukan Hala Tuju Sarawak
ASAJAYA: Setiap mandat yang diberikan rakyat menerusi pilihan raya merupakan amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi memastikan kepentingan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kepercayaan rakyat terhadap sesebuah kepimpinan bukan sekadar menentukan siapa yang membentuk kerajaan, malah turut mencorakkan hala tuju pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun berikutnya.
Menurut beliau, sistem demokrasi memberikan hak kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang diyakini mampu memikul tanggungjawab mentadbir negeri serta memperjuangkan kepentingan masyarakat di kawasan masing-masing.
“Sistem demokrasi memberikan hak kepada rakyat untuk memilih pihak yang diyakini mampu menggalas tanggungjawab membentuk kerajaan negeri serta mewakili kepentingan kawasan masing-masing,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Bakul Makanan di Dewan Masyarakat Kampung Moyan Laut, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, mandat yang diberikan rakyat perlu diterjemahkan melalui kepimpinan berintegriti, bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan kepentingan masyarakat.
Katanya, tanggungjawab tersebut juga berkait rapat dengan nilai amanah yang dituntut dalam kehidupan, khususnya dalam kalangan masyarakat Islam yang perlu melaksanakan setiap kepercayaan dengan penuh keinsafan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa keputusan rakyat menerusi proses demokrasi bukan sahaja menentukan barisan kepimpinan negeri, malah meletakkan tanggungjawab kepada mereka yang dipilih untuk menjaga kebajikan serta memperjuangkan aspirasi masyarakat sepanjang tempoh mandat diberikan.-EDISI UKAS