Pemantauan Projek Infrastruktur Rumah Panjang Pastikan Pelaksanaan Berjalan Lancar
SARIKEI: Pemantauan berterusan terhadap projek pembangunan di kawasan rumah panjang penting bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, mengikut jadual serta memenuhi keperluan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, tinjauan lapangan membolehkan perkembangan projek dinilai secara langsung, selain mengenal pasti isu yang memerlukan perhatian dan tindakan lanjut.
Beliau berkata, pendekatan turun padang turut memberi ruang kepada penduduk menyampaikan pandangan serta keperluan mereka berkaitan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan masing-masing.
“Pemantauan secara berterusan perlu dilakukan bagi memastikan projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat kepada penduduk.
“Melalui tinjauan projek ini, saya dapat melihat sendiri perkembangan projek dan pada masa sama mendengar terus pandangan serta keperluan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan pemantauan ke enam buah rumah panjang, iaitu Rumah Gundak Ahlin, Rumah Jalang Embas, Rumah Setia Ugok, Rumah Keli Angai, Rumah Alen Jaro dan Rumah Lanja Juan, baru-baru ini.
Dato Sri Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas komitmen dan sokongan berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan infrastruktur serta kemudahan asas turut dinikmati masyarakat di kawasan luar bandar.
Beliau turut berterima kasih kepada penduduk rumah panjang atas sambutan, kerjasama serta maklum balas yang diberikan sepanjang tinjauan berkenaan.-EDISI UKAS