Integriti, Amanah Asas Kukuhkan Institusi Masjid Di Sarawak
MIRI: Integriti dan amanah perlu dijadikan asas dalam pengurusan institusi masjid bagi memastikan peranannya terus kukuh sebagai pusat pembangunan masyarakat di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata pengurusan masjid bukan sekadar melibatkan tanggungjawab mengurus rumah ibadah, malah turut merangkumi tanggungjawab membangunkan masyarakat.
Jelasnya, setiap individu yang diberi amanah perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti serta mengambil kira kepentingan masyarakat secara keseluruhannya.
“Sebab itu saya rasa apa yang perlu ialah integriti seorang manusia itu sendiri dan juga peranan fikirannya di dalam menjalankan amanah yang diberi,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Pengurusan dan Pengimarahan Masjid Sarawak Sempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 1448H/2026M Zon Utara, di Hotel Pullman Miri pada Khamis.
Menurut Premier Sarawak, pengurusan institusi masjid yang baik mampu menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih harmoni, selain memperkukuh hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di Sarawak.
Ujarnya, keharmonian yang dinikmati Sarawak merupakan hasil semangat kekeluargaan dan sikap saling menghormati antara masyarakat berbilang kaum dan agama.
Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan berhemah dalam menangani perbezaan pandangan dalam kalangan masyarakat Islam bagi memastikan silaturahim dan keharmonian terus terpelihara.
“Kalau menegur pun tegur dengan cara baik… supaya keharmonian kita dalam masyarakat Islam terus berjalan dengan baik,” tambahnya.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha serta tetamu lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Mohamad Ishya Sabu