TYT Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Ziarah Keluarga Allahyarham Datu Sudarsono
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi meluangkan masa mengunjungi kediaman keluarga Allahyarham Datu Sr. Sudarsono Osman pada Khamis.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri, Dato Baduyah Bujang.
Hadir sama Peguam Besar Negeri Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datu Adana Jed, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Sarawak Datu Zaidi Mahdi, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta ketua-ketua jabatan.
Kunjungan tersebut bagi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham yang meninggal dunia semalam pada usia 71 tahun.
Allahyarham merupakan bekas penjawat awam kanan Sarawak yang berkhidmat selama kira-kira 40 tahun, termasuk pernah menjawat jawatan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dari 2006 hingga 2012.
Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap di beberapa kementerian, antaranya Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Kementerian Perumahan dan Urbanisasi serta Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak.
Selain sumbangannya dalam perkhidmatan awam, Allahyarham turut dikenali dalam arena bola sepak tempatan apabila pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), selain terlibat dalam pengurusan pasukan kebangsaan.-EDISI UKAS