Media Berperanan Sebar Maklumat Tepat, Bina Persepsi Positif Sarawak
KUCHING: Media berperanan penting dalam menyampaikan maklumat tepat dan membina persepsi positif terhadap Sarawak, khususnya dalam menghadapi cabaran penyebaran berita palsu serta maklumat mengelirukan di media sosial.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, pengamal media perlu terus berpegang kepada profesionalisme, ketepatan fakta dan keberanian mempertahankan kebenaran dalam melaksanakan tanggungjawab pelaporan.
“Dalam era pembinaan Sarawak, kita perlu terus menyampaikan kebenaran, berani mempertahankan kebenaran dan melaksanakan tanggungjawab itu demi Sarawak,” katanya semasa berucap pada majlis MBKS Media Night di sini, pada Khamis.
Menurut Datuk Amar Profesor Dr. Sim, perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) telah mengubah landskap media apabila orang ramai kini boleh menghasilkan serta menyebarkan maklumat dengan mudah, sekali gus meningkatkan cabaran dalam memastikan kesahihan sesuatu berita.
Sehubungan itu, beliau menggesa media konvensional dan media sosial agar memanfaatkan platform masing-masing untuk menyebarkan nilai positif, memperkukuh perpaduan serta mengangkat kisah kejayaan Sarawak, berbanding budaya merendahkan pihak lain, serangan peribadi dan penyebaran maklumat tidak benar.
Katanya, usaha membina Sarawak memerlukan masyarakat yang bersatu, saling menghormati dan berbangga dengan identiti Sarawak, selain media berperanan menyampaikan naratif negeri secara bertanggungjawab demi membentuk masa depan yang lebih baik.
Turut hadir ialah Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng.-EDISI UKAS