MPP Sokong Kempen Go Blue for Every Child, Perkukuh Kesedaran Hak Kanak-Kanak
KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menyertai inisiatif ‘Go Blue for Every Child’ sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2026 menerusi pencahayaan biru di Taman Tebingan Sungai Batu Kawa selama tiga malam, bermula 19 hingga 21 November.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian menyempurnakan majlis kira detik pencahayaan berkenaan di Sky Window, Taman Tebingan Sungai Batu Kawa, pada Khamis.
Inisiatif anjuran UNICEF Malaysia itu merupakan simbol sokongan terhadap usaha meningkatkan kesedaran mengenai hak, perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak, selain mengingatkan masyarakat tentang tanggungjawab bersama dalam memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang untuk membesar dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.
MPP, yang merupakan calon Bandar Mesra Kanak-Kanak (Child-Friendly City Candidate), menyertai kempen berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pelaksanaan Child Friendly Cities Initiative (CFCI) di Padawan.
Pendekatan Bandar Mesra Kanak-Kanak menekankan kepentingan pembangunan persekitaran yang memenuhi keperluan kanak-kanak, termasuk akses kepada kemudahan awam, ruang rekreasi, pendidikan serta peluang untuk menyuarakan pandangan dalam pembangunan komuniti.
Usaha itu turut menggalakkan penglibatan pelbagai pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan masyarakat, dalam memastikan hak serta kepentingan kanak-kanak terus diberi perhatian.
Turut hadir Pengerusi MPP Kaunselor Tan Kai, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Am dan Pembangunan Komuniti MPP Kaunselor Samsudin Sapri, Setiausaha Perbandaran MPP Ir. Ts. Goh Thiam Ho, ahli-ahli majlis serta kanak-kanak.-EDISI UKAS