BAU: Sebanyak RM1.3 bilion peruntukan pembangunan telah disalurkan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru setakat ini bagi memacu kemajuan sosioekonomi serta menaik taraf kemudahan infrastruktur penduduk setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, peruntukan besar itu memberi manfaat kepada kira-kira 41,781 penduduk merangkumi sekitar 10,181 ketua isi rumah di 51 buah kampung, tidak termasuk kawasan taman perumahan.
Menurutnya, antara projek utama yang menerima peruntukan tertinggi ialah kerja menaik taraf Jalan Simpang Bau/Lundu ke Pekan Bau (Fasa 1) sepanjang 3.65 kilometer (km) bernilai RM74 juta.
"Projek menaik taraf jalan sedia ada daripada satu lorong kepada jalan berkembar (dual carriageway) itu bagaimanapun masih belum siap disebabkan masalah daripada pihak kontraktor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Penutupan Seminar Pembangunan Strategik Daerah Bau bagi Kawasan DUN Tasik Biru di Bidayuh Cultural Centre (BCC), di sini, pada Khamis.
Datuk Henry berkata, projek kedua terbesar ialah menaik taraf Jalan Musi–Buso sepanjang 7.4 km dengan kos RM73 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2028.
Selain itu katanya, pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin bernilai RM43.66 juta dijangka siap pada Disember 2027 dan mula beroperasi pada tahun 2028, sekali gus bakal merancakkan ekonomi penduduk di kawasan Jagoi.
"Kerajaan turut melaksanakan projek pembinaan jalan baharu sepanjang tiga kilometer termasuk sebuah jambatan dari Kampung Suba Buan dan Kampung Suba menuju ke Bandar Bau dengan peruntukan RM55 juta bagi menyelesaikan isu banjir," tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan fokus kepimpinan kini adalah merancang tindakan seterusnya demi masa depan kawasan berkenaan memandangkan projek yang telah siap sudah mula dinikmati rakyat, manakala projek dalam pembinaan akan dipastikan siap sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau yakin hala tuju pembangunan daerah menerusi Rangka Tindakan Bau (Bau Blueprint) yang dirangka sejak 2016 bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, komuniti perniagaan dan penjawat awam kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran menjelang 2030.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi, Pegawai Tadbir Khas, Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) Datuk Ik Pahon Joyik, Timbalan Setiausaha Majlis Daerah Bau Leetizia Liani Affandi, Pemanca Masyarakat Bidayuh Daerah Bau Robert Tom Juin serta Pemanca Masyarakat Cina Daerah Bau Bong Jong Long.-EDISI UKAS